Monday, November 7, 2011

saat perpisahan


Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya juga tidak diduga. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Apabila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari ynag telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk di uji…tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semua bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan ini:
“manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”
Pernahkah ada kesenangan yang hakiki dan abadi? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya teap merindu kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu  jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini hanya sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberi kita terang…untuk bersyukur.Allah beri kita gelap… untuk kita bersabar.
Jadilah insan yang lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hambaNya selagi kita tidak putus asa terhadap-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah. Luruskan jalan menuju tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang jangan menghalang. Ingat selalu kata Hukama:
“jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya”
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan baik, banyakkan diam. Jika memberikan nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan meghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan , kata orang, tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Justeru carilah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran untuk kita berbakti.
Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katakanlah pada diri, apabila kita berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takut kehilangannya, kecintaaan yang kita bimbangkan perpisahan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu apabilaberdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah kata-kata ini: “ in life what sometimes appear to be the end is really a new beginning”
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya hanya proses perpindahan – dari alam dunia kepada alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia
Ya, kalau sanggup datang, mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentisa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya….syurga. Amin…

No comments: